Tempat Menarik

Bukit Fraser

      


Bukit Fraser merupakan tempat peranginan yang nyaman kerana terletak di tanah tinggi. Bagi mereka yang cintakan keindahan alam semulajadi, di sini terdapat pelbagai jenis flora dan fauna yang masih kekal terpelihara daripada kepesatan pemodenan. Suhu dingin sekitar 20 hingga 23 darjah Celsius dengan ketinggian 1,524 meter di atas paras laut memberi panorama redup dan lembab dengan aroma udara yang segar. Suasana di Bukit Fraser menyerupai suasana perkampungan di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.




Jeram Besu

     


Tempat rekreasi yang tidak kurang menariknya adalah Jeram Besu. Terletak berhampiran Pekan Benta, Jeram Besu atau ”Besu Rapids”, kegiatan seperti berkayak, berkenu, berakit menggamit penggemar-penggemar sukan lasak ke sini. Disini juga dilengkapi dengan kemudahan penginapan dan kedai makan untuk keselesaan pelawat beristirehat menikmati udara nyaman, air sungai yang dingin dan kicauan unggas berterbangan di hutan berdekatan sekali gus menyuntik kedamaian dan bebas daripada hiruk-pikuk kesibukan kota.




Lata Jarum

  


Sesuai untuk pencinta alam, air terjun Lata Jarum menyajikan pemandangan yang menarik di samping airnya yang dingin, jernih dan menyegarkan. Terletak lebih kurang 14km dari Pekan Dong dan 35km dari Raub, pengunjung akan di sambut oleh jeritan unggas rimba diselang-seli dengan deruan air dari air terjun Lata Jarum. Turut disediakan untuk kemudahan orang ramai adalah  tandas awam, bilik menyalin pakaian, surau, ruang untuk berkhemah, bangku-bangku yang di payungi rimbunan pokok hutan, dewan dan kafeteria. 


Lata Lembik

    


Mempunyai daya tarikan tersendiri, Lata Lembik yang terletak 52km dari Bandar Raub merupakan tempat perkelahan untuk seisi keluarga. Perjalanan ke Lata Lembik adalah melalui Perkampungan orang asli dan Kampung Tradisional. Kemudahan yang disediakan seperti pondok rehat, surau, dewan serbaguna, tandas, chalet dan kemudahan lain untuk mandi-manda, berkhemah dan padang kawat. 

Pulau Chekas

Terletak hanya beberapa kilometer dari Kampung Tradisional Pamah Kulat, perjalanan menaiki kenderaan menyusuri jalan kampung berturap hanya mengambil masa kira-kira 15 minit. Pulau Chekas mendapat namanya apabila sebuah daratan terbentuk di tengah laluan air sungai. Laluan air sungai yang terbahagi dua ini adalah keunikan Pulau Chekas. Di sebelah kanan dataran Pulau Chekas ini, terdapat alur sungai berbatu dengan air yang mengalir sederhana deras. Di sebelah kiri dataran Pulau Chekas ini pula, alirannya lebih tenang dan kurang berbatu. 

Di sini, di sediakan kemudahan seperti tandas awam, bilik menyalin pakaian, pentas mini, ruang untuk berkhemah dan berkelah, dan dataran kecil untuk aktiviti kekeluargaan. Untuk kanak-kanak, terdapat sebuah papan gelunsur yang berakhir dengan sebuah kolam buatan di hujungnya. Kolam ini di bentuk daripada aliran sungai yang telah di empangkan.


Tarikh Kemaskini: 07/11/2017 19:07:40

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 12 kali.


Kembali ke Atas