Berita

73 Mangsa Banjir di Raub Dipindahkan ke Tiga PPS

Munirra

RAUB, 15 FEBRUARI 2022 : Seramai 73 mangsa banjir daripada 24 keluarga di daerah Raub dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terbabit sehingga jam 3 petang tadi.
 
Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail berkata, lokasi terlibat ialah Kampung Ulu Sungai, Kampung Batu Talam dan Kampung Kuala Semantan.
 
“Tiga PPS yang terlibat ialah PPS Balai Raya Kampung Ulu Sungai dengan 12 keluarga, dua keluarga pula ditempatkan di PPS Pusat Kegiatan Wanita Batu Talam manakala PPS Masjid Jamek Kuala Semantan pula menempatkan 10 keluarga,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
 
Menurutnya, kesemua mangsa yang ditempatkan di tiga PPS tersebut turut mendapat kemudahan yang disediakan oleh Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Raub.
 
YH. Dato’ Mohammad Shahid turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya kawasan dinaiki air serta semua mangsa terlibat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang berada di PPS masing-masing. – PAHANGMEDIA

Oleh : Fansurina Abdullah

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 7 kali.


Kembali ke Atas