Berita

Bailey Bridge Raub-Bukit Fraser Dibuka Selasa Depan

Munirra

RAUB, 27 FEBRUARI 2022 : Kerja-kerja pembinaan jambatan sementara atau Bailey Bridge bagi menyambung jalan utama Raub – Bukit Fraser berdekatan Kampung Tras kini berada di peringkat akhir.

Pegawai Daerah Raub, YH Dato’ Mohammad Shahid Ismail berkata, jalan berkenaan akan dibuka semula kepada pengguna bermula Selasa depan.

Proses pembinaan jambatan sementara atau Bailey Bridge bagi menyambung jalan utama Raub – Bukit Fraser berdekatan Kampung Tras di Raub

“Kerja-kerja pembinaan oleh tenaga kerja dalaman JKR Pahang dengan kekuatan seramai 38 anggota yang komited menyiapkan jambatan ini bagi kemudahan pengguna.

“Selain memberi manfaat kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya lain, seramai 18 orang pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan bertulis SPM bermula Rabu depan juga akan dapat menggunakan jambatan ini untuk pergi ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan di atas tindakan pantas pihak JKR Negeri Pahang dalam mengatasi masalah jalan berkenaan.

“Terima kasih juga kepada pihak PDRM yang mengiringi dan melancarkan perjalanan kenderaan dan jentera JKR Pahang yang membawa peralatan Bailey Bridge dari Temerloh ke Raub.

“Saya berharap agar usaha ini memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya dalam memastikan kelancaran dan keselesaan perjalanan pengguna jalan ini” katanya. -PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 10 kali.


Kembali ke Atas