Berita

BPP Tanda Ingatan Kerajaan Kepada Rakyat

Munirra

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

RAUB, 20 SEPTEMBER 2021 - Inisiatif pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dan pelbagai bantuan lain yang diwujudkan oleh kerajaan negeri merupakan tanda ingatan pihak kerajaan terhadap rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, BPP yang diberikan oleh kerajaan adalah menyeluruh dan semua pihak dapat menikmati bantuan yang diperuntukkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram pada Program Penyampaian Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang dan Bantuan Prihatin Pahang Tahun 2021 di Masjid Sultan Abu Bakar, Raub, pagi tadi.

“Walaupun bantuan ini tidak banyak tetapi dapat kita merasa, banyak sikit nombor dua, tetapi ingatan daripada kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada kita agar kita lebih bersemangat lagi untuk menjalankan tugas di kawasan masing-masing khususnya penggerak masyarakat Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan pada Program Penyampaian Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang dan Bantuan Prihatin Pahang Tahun 2021 di Masjid Sultan Abu Bakar, Raub, pagi tadi.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin, Ketua Penolong Pengarah (Dakwah), Tuan Haji Mohd Fadzli Mat Saman, Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Masjid dan Surau), Encik Ahmad Nizam Abdul Manan dan Pemangku Pegawai Agama Islam Daerah Raub, Ustaz Ahmad Zaharuddin Mohd Alias.

Pada program itu, sebanyak 74 masjid dan surau telah menerima sumbangan jubah kepada iman-imam manakala sebanyak 23 orang menerima insentif bagi pengusaha kantin dan dewan makan bagi Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

Sementara itu, seramai lapan orang menerima bantuan khas kewangan kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Ihsaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) dan seramai enam pelajar turut menerima Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020. – PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 8 kali.


Kembali ke Atas