Berita
KDYMM Pemangku Raja Pahang Berkenan Berangkat ke Kejohanan Ragbi Jemputan 10 Sebelah
KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG BERKENAN BERANGKAT KE KEJOHANAN RAGBI JEMPUTAN RAUB 10 SEBELAH
Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 2 OKTOBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Kejohanan Ragbi Jemputan Raub 10 Sebelah di Kompleks Rakan Muda Dong, di sini semalam.
Sebanyak lapan pasukan dari enam buah negeri berentap dalam kejohanan ragbi berkenaan.

Penaung Persatuan Ragbi Daerah Raub, Encik Fadzli Mohd Kamal berkata, antara pasukan yang menyertai Kejohanan berkenaan ialah Ipoh Lions (Perak), Sembilang Dria (Penang), Kluang RC (Johor), Royal Selangor Club (Selangor), KL Saracens (Kuala Lumpur), Jerantut Jbok, Kuantan Polymix dan Raub Rugby (Pahang).
“Sambutan yang diberikan terhadap kejohanan ini sangat memberangsangkan dan kita merancang untuk anjurkan banyak lagi kejohanan membabitkan pelbagai kategori selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Kejohanan Ragbi Jemputan Raub 10 Sebelah di Kompleks Rakan Muda Dong di Raub.

Dalam pada itu, beliau berkata, sukan ragbi ini perlu dikembangkan di peringkat kampung dan FELDA bertujuan mencungkil bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.
Menurutnya, setiap daerah perlu mewujudkan persatuan ragbi bagi mengembangkan sukan tersebut.
“Jika dilihat sukan ini sudah berkembang dalam kalangan wanita malahan pembabitan pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah menerusi permainan ragbi sentuh turut mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Justeru, kewujudan persatuan ragbi di setiap daerah disifatkan sebagai medan terbaik bagi mencungkil bakat baharu sekaligus memeriahkan lagi arena sukan ini,” katanya.
Pada kejohanan itu, pasukan Raub Rugby memenangi tempat pertama dengan membawa pulang hadiah bernilai RM3,000, naib johan dimenangi pasukan Ipoh Lyon dengan hadiah bernilai RM2,000 manakala tempat ketiga dirangkul pasukan Jerantut Rugby yang membawa pulang RM1,000. – PAHANGMEDIA
Kembali ke Atas