Berita

KDYMM Pemangku Raja Pahang Rasmi Tugu Peringatan Force 136

Munirra

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG RASMI TUGU PERINGATAN FORCE 136 PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

RAUB, 24 SEPTEMBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Tugu Peringatan Force 136 Pahang hari ini.

Tugu yang didirikan di Kem Puncak Emas ini adalah bagi memperingati 244 pejuang tanah air yang terdiri daripada anak-anak watan negeri ini yang pernah berjuang mempertahankan negara ini.

Turut mengiringi keberangkatan baginda, YAM Tengku Panglima Raja Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Komander Rejimen 505 Askar Wataniah; YBhg. Panglima 4 Briged (Mek), YH Brigedier Jeneral Dato’ Zahari Mohd Ariffin; Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin.

YAM Tengku Panglima Raja Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dalam sembah ucapan berkata Force 136 adalah nama samaran kepada operasi sulit melibatkan perisikan dan sabotaj terhadap tentera Jepun.

“Nama-nama pejuang seramai 244 orang yang terdiri daripada 27 pegawai dan 217 lain-lain pangkat telah diabadikan pada Tugu Peringatan Force 136 Pahang ini.

“Pembinaan tugu peringatan ini adalah bermula dari cetusan ilham serta idea oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah semasa menjawat jawatan sebagai Komander Rejimen 505 Askar Wataniah.

“Majlis perasmian Tugu Peringatan Force 136 Pahang ini disempurnakan pada bulan September adalah bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia yang Ke-89 yang jatuh pada tanggal 16 September setiap tahun,” katanya.

Dalam sembah ucapan YAM Tengku Panglima Raja, beliau turut mengimbas kembali sejarah penubuhan Force 136 pada 16 Mac 1944 di mana ia merupakan nama samaran kepada operasi sulit berkenaan.

“Force 135 Pahang diketuai oleh Yeop Mahidin Mohd Sharif dan turut disertai oleh Abdul Razak Hussin, Ghazali Shafie, dan Abdul Rahman Ismail.

Waris Force 136 yang juga pelakon, Puan Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired

“Pada tanggal 1 Disember 1945 Force 135 telah dibubarkan selepas tentera Jepun menyerah kalah dan anggota Force 136 dikekalkan sebagai askar wataniah Lt. Kol. Yeop Mahidin dilantik sebagai pemerintah.

“Manakala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatudin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah sebagai Kolonel Kehormat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang waris Force 136 yang juga pelakon, Puan Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired melahirkan rasa terharu kerana jasa datuknya, Almarhum Syed Abd. Rahman Syed Mohamed dihargai.

“Arwah datuk saya, Syed Abd. Rahman dan adik dia, Syed Abd. Rahim pernah berkhidmat setahun pada 1944 dalam Force 136 dan saya rasa terharu kerana tak sangka namanya turut diabadikan di tugu ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 91 kali.


Kembali ke Atas