Berita
KDYMM Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Berbuka Puasa Bersama Rakyat Raub
KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG, RAJA PERMAISURI AGONG BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT RAUB
Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 28 MAC 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berbuka puasa bersama hampir 1,500 penduduk Raub, di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua ke masjid berkenaan pada 6.40 petang itu, diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, YABhg. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed.
Berangkat mengiringi baginda berdua, YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda berdua kemudiannya berkenan mendengar persembahan ucapan daripada Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong
Seterusnya baginda berdua berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan kepada 60 penerima daripada golongan memerlukan di daerah ini.
Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan bersolat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah di masjid ini sebelum berangkat pulang.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun. -PAHANGMEDIA
Kembali ke Atas