Berita

Kerajaan Pahang Sumbang RM20,000 Baik Pulih Rumah Uzur di Raub

Munirra

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Pahang menyumbangkan RM20,000 bagi membaikpulih dua buah rumah yang rosak di Raub.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata bantuan sebanyak RM10,000 sebuah rumah telah pun diperuntukkan bagi tujuan ini.

“Kita telah memberikan bantuan bernilai RM10,000 kepada Puan Isabella yang juga Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Orang Asli (JKKOA) Pos Buntu bagi membaikpulih rumahnya yang telah uzur.

“Begitu juga kepada Encik Azrin Abd Rahman di Kampung Tersang, kita beri bantuan RM10,000 juga bagi baikpulih rumahnya yang juga telah uzur.

“Proses baikpulih rumah-rumah ini akan dijalankan dalam masa yang terdekat memandangkan kerja-kerja pembinaan telah pun dibenarkan dijalankan kini,” katanya.

Beliau sebelum itu telah menghadiri Program Penyerahan Bakul Makanan kepada penduduk di Pos Buntu dan Kampung Tersang, Raub.

Beliau turut mengharapkan bantuan yang diberikan ini dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga terlibat.

“Diharapkan bantuan ini dapat memberikan kediaman yang selesa walau tidaklah besar mana kepada keluarga-keluarga ini dan harap pembinaan rumah ini dapat segera disiapkan berikutan musim tengkujuh yang bakal melanda tidak lama lagi,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB) Raub yang telah membawa permohonan pembaikpulihan rumah uzur ini kepada pengetahuan Kerajaan Pahang. – PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 9 kali.


Kembali ke Atas