Berita

Manfaat Skim Tanah Rakyat Sebaik Mungkin

Munirra

RAUB, 11 FEBRUARI 2022 : Seramai 117 penerima Surat Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) di Kampung Jenud, Raub diingatkan supaya dapat memanfaatkan surat kelulusan yang diberikan dan tidak bertindak menjual tanah terbabit kepada pihak lain.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, kelulusan tanah yang diberikan ini haruslah dimanfaatkan sebaik mungkin setelah kerajaan berusaha menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) bagi mempercepatkan proses kelulusan tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram

“Proses sebelum ini kita panggil Skim Tanah Kelompok yang melalui beberapa jawatankuasa jadi kita telah gabungkan jawatankuasa ini kepada satu jawatankuasa penapisan tanah negara ini yang dipanggil Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) yang ditukar daripada Skim Tanah Kelompok dan sekarang Skim Tanah Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) dan Notis Borang 5A Kampung Jenud, Mukim Sega, di Raub, hari ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin, Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Raub, Encik Khairul Adha Hakimi Idris dan penghulu-penghulu daerah Raub.

Antara penerima Surat Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) dan Notis Borang 5A Kampung Jenud

Pada majlis itu, seramai 117 peserta telah menerima surat kelulusan STR Kampung Jenud, Mukim Sega 2, Raub melibatkan tanah seluas 258.74 ekar.

Terdapat empat lagi STR yang telah diluluskan iaitu STR Kampung Lalat, Mukim Ulu Dong, seluas 90.07 ekar melibatkan 45 peserta, STR Kampung Chenua, Mukim Sega 2, seluas 193.75 ekar melibatkan 89 peserta, STR Ulu Sungai, Mukim Batu Talam, seluas 440 ekar dengan 193 peserta dan STR Sungai Batu, Mukim Batu Talam, seluas 393.53 ekar melibatkan seramai 195 peserta.

Menurut YB. Dato’ Abd Aziz, kerajaan bukan sekadar memberikan kelulusan tanah kepada peserta tetapi turut menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalanraya dan pembekalan air bagi memudahkan peserta untuk membangunkan tanah masing-masing. – PAHANGMEDIA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 41 kali.


Kembali ke Atas