Berita
Program Gerak Rahmah 2023 Pupuk Perpaduan
Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 1 APRIL 2023 : Kembara Perpaduan menerusi Program Gerak Rahmah 2023, Jom Masak Bubur Lambuk yang diadakan secara serentak di seluruh negara dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat apabila turut melibatkan penyertaan pelbagai kaum.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program seumpama ini merupakan satu usaha yang sangat baik dan dapat menggambarkan perpaduan di kalangan semua pihak.
“Ini satu usaha yang sangat baik, tahniah kepada Exco Perpaduan, YB. Cik Leong Yu Man, yang memaklumkan kepada saya program pada hari ini, di mana pada peringkat awal mungkin saya tidak boleh datang, tetapi di atas kepentingan bersama, kita datang juga.
“Kalau inilah yang ditunjukkan dan ini kita boleh katakan sebagai contoh Kerajaan Perpaduan sesama kita, Insyaa Allah negara kita akan aman, makmur dan lebih stabil daripada segala segi,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Program Gerak Rahmah 2023 Jom Masak Bubur Lambuk yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Simpang Kallang di Raub, petang tadi.
Hadir sama ialah Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamed Kamal, Ahli Parlimen Raub, YB. Chow Yu Hui, Ketua UMNO Bahagian Raub, YH. Dato’ Abdul Aziz Haji Mat Kiram, Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin setempat.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak dan agensi antaranya adalah jabatan-jabatan kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Raub, Kem 505 Wataniah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, UiTM Raub, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Raub, Petronas, Adabi, Grab dan Pejabat Belia Daerah Raub. – PAHANGMEDIA
Kembali ke Atas