Berita

RM8juta diperuntuk bagi bangunkan projek PROSPEK dan STR

Munirra

RAUB, 19 JULAI 2022 - Sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi membangunkan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) melibatkan Skim Tanah Rakyat (STR) Kampung Lalat di sini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek ini melibatkan 45 peserta dengan tanah seluas 36.45 hektar.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melakukan gimik pada Majlis Pelancaran PROSPEK Raub dan Penyampaian Suratan Hak Milik Skim Tanah Rakyat Kampung Lalat, Mukim Ulu Dong, Raub di Dewan Orang Ramai Kampung Pamah Rawas, Dong, Raub.

“KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) telah memperuntukkan sejumlah wang bernilai RM8 juta yang kita serahkan kepada PKPP (Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang) sebagai pelaksana.

“Kerajaan Negeri telah menyediakan tanah, di mana kita bagi dua ekar seorang untuk tujuan tanaman Musang King. Disamping itu, program ini bersepadu, kita berikan juga rumah iaitu sebuah rumah tiga bilik kepada peserta-peserta PROSPEK seramai 45 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran PROSPEK Raub dan Penyampaian Suratan Hak Milik Skim Tanah Rakyat Kampung Lalat, Mukim Ulu Dong, Raub di Dewan Orang Ramai Kampung Pamah Rawas, Dong, Raub.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin; ADN Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long; dan Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Muhammad Shahid Ismail.

Beliau berkata projek ini merupakan satu program yang sangat bagus kepada masyarakat luar bandar khususnya.

“Kerja-kerja sedang berjalan dengan lancar dan kita nampak pilot projek ini sebagai satu program yang boleh meningkatkan taraf sosial penduduk di luar bandar.

“Jadi kita minta KPLB sediakan lagi peruntukan untuk tahun hadapan supaya ianya dapat membantu menaikkan taraf sosioekonomi penduduk di luar bandar,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Encik Hairul Bakharin Nupah, 53, dari Kampung Pamah Kulat melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang diatas pemberian geran STR.

“Alhamdulillah syukur atas pemberian tanah ini. Dapat tanah sendiri, rasa bersyukur sangat kerana bukan senang nak dapat walaupun duduk dan berasal dari Pahang,” katanya.

Seorang lagi penerima, Puan Zaini Jantan, 52, melahirkan rasa sukacita atas pemberian geran STR yang diterima oleh Kerajaan Pahang yang disifatkan sebagai rezeki.

“Nak harapkan tanah sendiri tak ada, kita dapat tanah percuma macam ini dah bersyukur sangat dah. Tambah pula Menteri Besar sendiri yang datang bagi geran ini, bersyukur sangat,” katanya. -PAHANGMEDIA

SUMBER : PAHANGMEDIA Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 53 kali.


Kembali ke Atas