Berita

Taklimat Pembinaan Menara Telekomunikasi di Setiap Daerah

Munirra

RAUB, 15 MAC 2023 : Kerajaan Pahang akan mengadakan taklimat bersama kepimpinan dan kampung di setiap daerah di negeri ini bagi memberi penerangan berkenaan pembinaan menara telekomukasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata ia juga bagi kefahaman terhadap inisiatif yang dijalankan oleh pihak telekomunikasi.

“Taklimat ini penting sebab kita nak dapatkan penglibatan penyertaan daripada semua pihak supaya mereka faham inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang khususnya MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan juga TM.

“Ia berkenaan dengan menyediakan akses serta perkhidmatan telekomunikasi, internet mudah alih, talian telefon, dan sebagainya kepada penduduk di negeri Pahang ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Isu Perkhidmatan Komunikasi dan Inistiatif Projek JENDELA Daerah Raub Oleh SKMM Dan TM di Majlis Daerah Raub hari ini.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor; dan Pegawai Daerah Raub, YH Dato Mohammad Shahid Ismail.

Menurut beliau lagi siri taklimat ini dimula di daerah Raub dan akan diteruskan ke Lipis selepas ini sebelum ke daerah lain di seluruh negeri ini terutamanya daerah yang dikenalpasti mempunyai masalah.

“Saya mulakan (taklimat) ini di daerah Raub, sebelum saya teruskan program seumpama ini di daerah-daerah lain pula di seluruh Pahang.

“Ini kerana saya dapati bila mana saya turun meninjau sendiri pelaksanaan projek-projek pembinaan menara telekomunikasi di lapangan, banyak tugasan atau kerja-kerja, masalah cabaran ini mampu diselesaikan.

“Mungkin selepas ini saya akan turun ke daerah Lipis dan saya akan tengok mana (daerah) yang keperluan mendesak di daerah-daerah tersebut khususnya yang bermasalah dari segi roll-out program di bawah JENDELA,” katanya.

Tambah beliau, siri taklimat ini akan dijadikan sebagai rutin selain turun ke lapangan bagi memastikan projek yang dijalankan dapat dilakukan dengan lancar dan mengikut jadual ditetapkan. -PAHANGMEDIA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 2 kali.


Kembali ke Atas